Monday, June 2, 2008

Sejarah Seni Visual (IV)


Pada tahun 1974 Abdul Latif Mohidin telah menghidupkan pendekatan yang baru di kalangan ahli-ahli muda dan menubuhkan Kumpulan Anak Alam sebagai kumpulan serpihan Angkatan Pelukis SeMalaysia. Tahun 1980an

Persatuan Pelukis Malaysia ditubuhkan pada tahun 1980 dengan hasrat mewujudkan sebuah badan yang betul-betul mewakili pelukis, memperbaiki kedudukan pelukis dan bekerjasama dengan kerajaan mengenai hal-hal yang berkaitan dengan seni lukis di Malaysia dan Luar negara.

Penubuhan Pusat Seni di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1984 telah melahirkan guru-guru pemegang ijazah bagi institut, maktab dan sekolah-sekolah serta para profesional yang lebih maju dan mahir dalam bidang seni halus. Kursus Ijazah selama tiga tahun ditawarkan oleh Jabatan Kemanusiaan. Ini termasuk Studio Seni lukis dan Sejarah Senilukis dan Kemanusiaan. USM menawarkan kursus Seni halus bagi Catan, Fotografi, Teori-teori Seni, Seni Arca, Rekabentuk Grafik, Aspek-aspek Seni Asia Tradisional, Aspek-aspek Keseniaan Asia Moden dan latihan Ilmiah. USM juga menawarkan kursus Master of Art dalam Sejarah Senilukis. Institut dan akademi seni swasta yang ditubuhkan di sekitar negara juga telah memberi sumbangan mengeluarkan tenaga seni dalam pelbagai bidang. Badan-badan swasta seperti firma-firma petroleum dan para peminat seni yang berada , telah mula membeli karya-karya untuk dijadikan koleksi simpanan.

Awal tahun 1980an mengemukakan bidang kanvas yang lebih luas dan menarik dengan munculnya catan pemandangan yang naif, sambungan akademik aliran realisme dan karya-karya yang menyedut inspirasi dari mitos dan lagenda yang kaya di rantau ini.

No comments: